Kerambit atau kurambi juga dikenali sebagai lawi ayam, kuku ayam atau rambai ayam. Senjata kecil yang berupa seperti sehelai bulu ayam jantan yang terdapat pada ekornya. Berkeadaan melentik dan tirus di hujung. Nama senjata ini juga dipercayai mengambil nama dari taji atau lawi ayam. Sebab bentuk dan cara digunakan juga hampir serupa.
Kerambit pada kebiasaannya berhulukan kayu atau tanduk, yang terdapat lubang sebesar jari tangan. Di bahagian pangkalnya disimpaikan dengan rotan atau logam, agar mengukuhkan lagi ikatan hulu tersebut. Saiz hulu adalah sepanjang 8 cm dan mata antara 6 cm hingga 8 cm.Cara menggunakannya adalah dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam gelang yang terdapat pada hulunya, dan bahagaian matanya yang tajam meruncing itu akan terkeluar dari genggaman di bahagian kelingking. Tikaman dibuat dengan menggaritkan mata pada objek secara tumbukan yang tidak tepat ke sasarannya, atau secara rautan.
Kerambit merupakan senjata pendek warisan Melayu. Ia biasanya digunakan oleh pembunuh upahan dan biasanya merobek mangsa dalam senyap. Ini kerana senjata ini sukar kelihatan dalam keadaan kelam-kabut. Kerambit juga sesuai digunakan oleh wanita kerana senang disembunyikan dalam sanggul rambut mereka. Jangan bawa senjata ini untuk bersiar-siar atau untuk makan angin kerana ia senjata berjadual - sumber Cikgu Nasir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan