26 April 2009

BUKU LIMA

Buku lima merupakan senjata kecil yang bukan untuk membunuh, tetapi hanya sebagai 'habuan' berbisa dalam pertempuran. Biasanya digunakan bagi mengalahkan lawan yang lebih handal, atau bertubuh sasa, atau yang dirasakan `tak makan cekak'. Buku lima diasaskan dari bentuk penumbuk. Sebagai hiasan barang keras pada penumbuk, buku lima ditambah yang mana sedia maklum akan memberikan pukulan yang sangat berbisa, sekaligus menghilangkan cabaran musuh.

Buku lima diperbuat daripada bahan logam besi atau tembaga dan dijadikan sebagai senjata sulit. Namun begitu ia jarang digunakan dalam pertempuran, tetapi hanya untuk tempur satu lawan satu. Biasanya dipakai tanpa disedari lawan, dan pukulan 'curi' digunakan secara helah. Sasarannya pada muka yang mana akan memberikan kecederaan parah.Terdapat 2 jenis buku lima iaitu jenis,`genggaman' dan jenis 'sarung'. Jenis genggaman mempunyai mata yang rata dan mudah terlepas jika genggaman tidak kuat atau musuh mahir dalam kuncian. Berbanding pula dengan jenis sarung yang mempunyai mata tajam pada bahagian luar genggaman yang mana mudah dilihat oleh musuh tetapi sukar terlepas dari tangan.

Ada juga penyerang yang menanam 'besi kuning' pada buku lima mereka. Menurut ceritanya sesiapa yang terkena buku lima ini akan menemui maut atau setidak-tidaknya akan muntah darah dan menanggung penderitaan. Buku lima yang ditanam besi kuning juga boleh menewaskan ilmu kebal dan menawarkan ilmu hitam.Buku lima hanya digunakan sekali sahaja dalam pertempuran, ini mengelakkan daripada diketahui oleh lawan yang mana boleh menyebabkan dendam yang berpanjangan. Tetapi jika sekali pukul lawan pengsan, ini akan memberikan kesedaran pada musuh akan kehebatan kita. Senjata ini adalah berbahaya dan diharamkan oleh kerajaan dan boleh didakwa jika memilikinya.

LEMBING

Lembing pada dasarnya ialah senjata lontar. Batangnya diperbuat dari kayu lurus berukuran sedepa, mata lembing dimasukkan ke dalam batang dan diperkuat dengan ikatan rotan atau simpai logam. Mata lembing lazimnya dibentuk seperti pisau dan jarang berduri. Lembing Melayu lebih pendek, rengan dan tajam mata di hujungnya. Lembing bermata logam yang pada asalnya diperbuat daripada tembaga atau gangsa dan kemudian digantikan dengan besi atau besi waja, telah digunakan sejak berkurun dahulu. Lembing yang digunakan untuk merejam musuh adalah dari yang berbentuk lebar matanya serta tangkai yang panjang dan ringan. Manakala lembing yang digunakan untuk pertempuran adalah dari jenis yang berabung pada matanya serta tangkai yang pendek sedikit serta lebih kukuh. Lembing diperbuat daripada kayu lurus berukuran 6 kaki panjang dan dipasang dengan mata lembing seperti pisau di satu pangkal. Lembing yang terdapat di Malaysia kebanyakan bermata tajam yang diperbuat daripada kayu atau buluh. Pada masa sekarang lembing yang bermata lebar seakan daun sirih digunakan untuk upacara rasmi dan istiadat diraja sahaja sahaja.

BUSUR

Busur adalah sejenis alat senjata pelancar untuk melepaskan anak panah. Ia dipercayai dicipta pertama kali semenjak zaman pra-sejarah lagi dan merupakan antara senjata terawal yang digunakan manusia. Menurut sejarah, busur dan panah merupakan senjata paling moden, sehingga kemunculan serbuk letupan yang membawa kepada penciptaan senjata api seperti senapan dan pistol lantak. Sejarah awal penggunaannya telah lenyap diselubungi oleh zaman prasejarah, sehinggalah lima puluh tahun dahulu, busur dan anak panah ternyata masih digunakan oleh orang-orang Asli di Malaysia dan pribumi Sabah dan Sarawak sebagai senjata perburuan. Walaubagaimanapun , kini penggunaan buluh sumpitan lebih diutamakan. Busur yang digunakan terdiri daripada jenis yang panjang dan diperbuat daripada kayu atau buluh. Batangnya diraut dan ditegangkan dengan tali khas yang diperbuat daripada kulit kayu terap, manakala kepala panah diperbuat daripada logam dan direndam dalam cecair getah yang diperoleh daripada pokok Ipoh sebagai racun sebelum digunakan.

KERAMBIT

Kerambit atau kurambi juga dikenali sebagai lawi ayam, kuku ayam atau rambai ayam. Senjata kecil yang berupa seperti sehelai bulu ayam jantan yang terdapat pada ekornya. Berkeadaan melentik dan tirus di hujung. Nama senjata ini juga dipercayai mengambil nama dari taji atau lawi ayam. Sebab bentuk dan cara digunakan juga hampir serupa.

Kerambit pada kebiasaannya berhulukan kayu atau tanduk, yang terdapat lubang sebesar jari tangan. Di bahagian pangkalnya disimpaikan dengan rotan atau logam, agar mengukuhkan lagi ikatan hulu tersebut. Saiz hulu adalah sepanjang 8 cm dan mata antara 6 cm hingga 8 cm.Cara menggunakannya adalah dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam gelang yang terdapat pada hulunya, dan bahagaian matanya yang tajam meruncing itu akan terkeluar dari genggaman di bahagian kelingking. Tikaman dibuat dengan menggaritkan mata pada objek secara tumbukan yang tidak tepat ke sasarannya, atau secara rautan.

Kerambit merupakan senjata pendek warisan Melayu. Ia biasanya digunakan oleh pembunuh upahan dan biasanya merobek mangsa dalam senyap. Ini kerana senjata ini sukar kelihatan dalam keadaan kelam-kabut. Kerambit juga sesuai digunakan oleh wanita kerana senang disembunyikan dalam sanggul rambut mereka. Jangan bawa senjata ini untuk bersiar-siar atau untuk makan angin kerana ia senjata berjadual - sumber Cikgu Nasir

KAYU SELENGAN

Senjata ini sering dijadikan kayu ‘didikan’ kerana kayu atau rotan yang panjangnya selengan dengan ukuran diri sendiri boleh menjadi ‘contoh’ kepada senjata lain seperti parang atau pedang dalam sesi latihan. Pada zaman dahulu, senjata ini popular dalam kalangan guru silat. Ia diperbuat daripada dahan jambu batu sebesar ibu jari. Dahan jambu batu menjadi pilihan kerana ia lurus dan liat. Kegunaannya ialah menjolok, melibas, menghentak dan mengunci musuh.

KERIS

Keris adalah sejenis senjata warisan budaya orang Melayu yang berdaulat iaitu sejenis pakaian orang Melayu pada zaman silam terutamanya Raja-Raja Melayu, Pembesar Negeri, golongan bangsawan serta rakyat jelata. Keris mempunyai rahsia yang istimewa kerana keunikannya. Orang Melayu pada zaman dahulu khusunya pemerintah semestinya berkehendakan kekuatan, kehebatan dan kemuliaan supaya digeruni oleh musuh terutamanya pemerintah lain.

Menurut buku Rahsia Keris dan Senjata Warisan Melayu yang ditulis oleh Zakaria Abdullah (2007: 9), bagi orang Melayu pada zaman itu, khususnya kaum lelaki, jika tidak berkeris di pinggang dianggap orang yang paling rendah martabatnya di sisi masyarakat kecuali para ulama dan para wali kerana mereka ini mempunyai kelebihan yang ganjil dan tinggi di sisi Allah s.w.t. Mereka boleh menentang musuh dengan menggunakan kekeramatan dan hikmah, namun ada juga yang tidak ketinggalan memakai senjata. Antara sebab keris menjadi lambang kemegahan dan kekuatan kepada orang Melayu adalah kerana keris diperbuat daripada besi yang terpilih dan mempunyai petua tertentu.Mengikut cerita zaman dahulu, para pendekar meneroka mencari besi di tempat yang baik seperti di bukit dan gunung bertujuan menjadikan keris keramat dan berhikmah.

Pada zaman dahulu, setiap tempahan keris itu dimulakan dengan ulikan ataupun menjampi besinya pada waktu malam mengikut kaedah masa dan hari bulan yang tertentu. Ulikan itu bertujuan untuk memasukkan segala amalan supaya besi itu lebih bermaya dan berhikmah. Pada keesokan harinya, kaedah atau petua turun tangga yakni memulakan proses pembuatan dimulakan sekiranya tiada halangan. Namun jika ada aral melintang seperti tersepak sesuatu atau sebagainya, maka tukang itu tidak akan memulakan pekerjaannya dan akan menunggu masa yang sesuai pula untuk memulakan proses pembuatan keris. Apabila tiba masa yang sesuai, maka dengan penuh keyakinan serta mempunyai semangat yang baik, tukang besi akan memulakan pekerjaan menempanya.

Bagi generasi baru, tidak salah jika mengambil inisiatif untuk mengkaji dan menghargai bagaimanakah orang dahulu membuat sebilah senjata sebagai pakaiannya. Walaupun mereka tiada ilmu akademik yang tinggi, namun ilmu kaedah dan petuanya diamalkan dengan penuh yakin. Oleh sebab itulah setiap senjata pada masa dahulu mempunyai banyak hikmah dan keramat. Setelah selesai proses penempaan, tukang keris akan meneruskan dengan proses penyempuhan besi. Ini bertujuan untuk menjamin kekuatan dan kekerasan mata keris supaya keris lebih mantap. Besi yang telah ditempa dalam dapur api akan dimasukkan ke dalam air dengan kadar yang segera. Ini bagi mempercepatkan proses percantuman molekul besi yang dicairkan dan ia akan menjadi lebih keras dan kuat.

Pada kebiasaannya, tukang besi pada masa dahulu memakai pakaian yang khusus sebagai adat untuk menempa sesebilah keris. Umpamanya menempa keris diraja, mereka akan memakai pakaian serba kuning, jika menempa keris panglima atau hulubalang, mereka akan memakai pakaian serba hitam dan berbengkung merah, manakala untuk menempa keris bagi orang biasa, tukang besi akan memakai pakaian biasa sahaja.

Tukang besi terdahulu amat menitikberatkan adat serta kaedah tertentu supaya keris yang dihasilkan bersesuaian dengan taraf orang yang menempahnya. Setiap bilah keris yang mengandungi besi campuran yang dipanggil pamor atau besi sebatang kerana setiap jenis besi itu ada rahsia tersendiri seperti:

i. Besi waja yang mempunyai rahsia keras lagi tajam.
ii. Besi putih berwarna perak mempunyai rahsia kemudahan rezeki dan boleh menembusi kulit yang tebal.
iii. Besi tarung bari bulu rusa mempunyai rahsia berbisa lagi tajam.
iv. Besi kelipan miang berbintik mempunyai rahsia kedamaian dan boleh mengurangkan kepanasan api kebakaran.
v. Besi kuning keemasan mempunyai rahsia kemurahan rezeki, dihormati dan menembusi kulit yang tebal.

Setiap bilah keris jika mempunyai pamor (besi ramuan), ia mempunyai rahsia tertentu kerana setiap bilah keris itu tuahnya ada pada pamor dari segi lahirnya. Rahsia tukang besi terdahulu menempa keris mempunyai motif yang tertentu. Sebagai contoh, keris yang berlok bermotifkan seekor ular yang hendak mematuk mangsanya, manakala keris lurus pula bermotifkan huruf alif ataupun “sengat ikan pari” yang berbisa.

KELEWANG

Senjata ini amat popular dan menjadi kegemaran masyarakat kelantan di samping kapak. Ini kerana apabila menetak ia lebih stabil. Tedapat sejenis lagi kelewang yang dipanggil kelewang jambul. Bezanya hanya tambahan jambul pada bahagian atas sahaja. Kadang-kadang bahagian hujung kelewang dicucuk pada benda-benda seperti putik kelapa yang saiznya lebih kecil daripada penumbuk. Ini dilakukan katika kelewang ini dibawa berjalan dalam kumpulan atau kawasan orang ramai. Ini kerana hujungnya yang tajam dikhuatiri akan tercucuk kepada orang yang berada berdekatan.

Kelewang tergolong dalam kumpulan parang panjang yang bilahnya melengkung. Ada kalanya muncung bilah dibengkokkan ke bawah bagai paruh burung yang disebut kelewang pucuk berkait. Hulunya pula sama seperti hulu parang biasa, diperbuat daripada kayu dan diperkukuhkan dengan sigi. Bilah kelewang lebar di tengah, kecil dan tebal dipangkal serta mempunyai muncung yang runcing. Kelewang juga dianggap sebagai senjata kecemasan terutama terhadap ular. Kelewang digunakan juga bagi menebas rumput, membersihkan kawasan sekeliling rumah atau kebun dan juga dusun. Ia diguna secara sabitan rumput atau hayunan secara berpusing bergantung kepada kemahiran penggunanya.

Pada zaman dahulu masyarakat Kelantan sering bergaduh di tempat-tempat hiburan seperti pertunjukan wayang kulit dan dikir barat. Bagi yang membawa kelewang mereka biasanya dengan selamba menjadikannya sebagai lapik duduk tanpa disedari oleh musuh-musuh mereka. Bagi mereka yang taksub dengan kelewang, banyak benda magis dimasukkan pada kelewang. Antarannya dimasukkan biji-biji besi kuning pada bahagian berhampiran jambul untuk mencantikkan kelewang. Pendek kata kelewang amat rapat dengan masyarakat/generasi tua Kelantan.

TUMBUK LADA

Tumbuk lada dipercayai berasal dari Sumatera. Ia dianggap istimewa dan hanya dipakai oleh pembesar negeri. Di Negeri Sembilan, tumbuk lada menjadi senjata utama dalam majlis adat istiadat dan merupakan salah satu elemen pelengkap pakaian rasmi diraja. Perkembangan perdagangan di Kepulauan Nuasantara pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan salah satu faktor utama penyebaran dan penggunaan tumbuk lada di Tanah Melayu. Pedagang Melayu dari Sumatera yang menjaja dan cara bertukar barang dalam perniagaan telah membawa masuk peralatan senjata bersama dengan hasil mahsul sebagai pertukaran barangan dagangan.


Tumbuk lada diambil nama daripada bentuk ulunya yang menyerupai alat untuk menumbuk lada. Ada juga pendapat yang menyatakan nama ini diperoleh hasil daripada tusukan yang pedih. Perbezaan nyata tumbuk lada dengan senjata pendek lainnya terletak pada hulu, mata dan sarungnya. Matanya berkelok tebal, tajam dan runcing. Bentuk tersebut sesuai dengan fungsinya sebagai senjata khas untuk menikam. Hulu senjatanya biasa diperbuat daripada kayu ataupun tanduk. Hujung hulunya diukir dengan ukiran yang bertingkat-tingkat. Senjata pendek yang mempunyai bentuk yang sama ialah Sewar dan Rencong Aceh. Tumbuk lada yang biasa dimiliki oleh raja atau pembesar negeri selalunya dihias dengan pahatan bermutu tinggi. Motif bunga pahatan awan timbul dikenali dengan nama 'awan larat' dan dawai pintal sekelilingnya diguna sebagai hiasan. Hujung hulunya ditambah dengan hiasan permata.


Matanya melengkung bongkok udang, bentuk balik sumpah, tajam sebelah dan meruncing di hujung; lebar di atas - menghasilkan garis gerak yang cepat. Mata tumbuk lada juga diperbuat daripada besi campuran, tetapi tidak berpamur. Tumbuk lada yang berukuran lebih kecil daripada keris lazimnya dihiasi ukiran yang halus dan disaluti perak. Hulunya sering diukir penuh dengan bentuk tumbuh-tumbuhan. Ada ukiran tebuk tembus yang berbentuk bulat pipih di pangkal bahagian belakang sarungnya. Ukiran ini tidak kurang indahnya daripada yang terdapat pada hulunya. Ukiran yang halus ini sebanding dengan ruang kosong, yang bersalut dan bersendikan perak. Ukiran yang terdapat pada tumbuk lada ialah antara yang paling indah dan halus dalam seni rupa Melayu.

TEKPI

Tekpi merupakan sejenis senjata Melayu yang biasa terdapat di Malaysia. Berdasarkan cerita orang-orang tua reka bentuk senjata tekpi banyak dipengaruhi oleh orang Hindu yang telah lama bertapak sebagai kerajaan awal di Tanah Melayu. Hulu tekpi diperbuat dari kayu yang cantik terasnya dan mata besi/keluli yang menegak bahagian tengah hulu, meruncing bengkok ke hadapan selari dangan mata pisau. Panjang mata tekpi mirip senjata keris tetapi ia lebih runcing serta ringan. Kepala tekpi berbentuk kepala lalat dan digunakan untuk menumbuk.

Leher senjata ini dililit dengan tali kasar untuk memudahkan pegangan si pemakai agar tidak mudah terlepas dari genggaman. Canggai atau canggah yang berjurai di sebelah kiri dan kanan, menghala lurus ke bawah dan keluar sedikit di bahagian hujungnya digunakan untuk membantai dan membantah senjata lain. Fungsi utama tekpi dicipta adalah untuk menahan serangan senjata tajam. Tekpi digunakan dengam menggenggam hulu senjata dan matanya adalah selari dengan siku tangan. Sebagai alat untuk mempertahankan diri dari serangan musuh, tekpi dipegang untuk menghadang dan menikam dengan kedua belah tangan secara menghunus ke depan mangsa.

Kebiasaannya tekpi diselitkan di pinggang dan digunakan sepasang di kedua-dua belah kiri dan kanan. Secara fizikalnya, antara tekpi Melayu/ Nusantara dan Sai Jepun tiada perbezaan ketara. Sesetengah perguruan Melayu gemar membawa sebelah tekpi ringan dan sebelah tekpi berat, sebelah tumpul dan sebelah tajam, tanduk terkuak (untuk menangkap senjata) atau tanduk terapat (untuk menangkap sendi). Dari segi permainan tekpi pula, bergantung kepada perguruan dan kaedah perguruan itu. Itu yang menentukan penggunaannya.

Silat Kuntau Tekpi merupakan silat yang memberi fokus kepada kuncian dan pukulan maka kaedah tekpinya juga mampu memukul dan mengunci. Silat Sendeng pula menumpu lebih kepada pukulan dari kuncian maka lebihlah juga pukulan tekpinya.

PISAU JAM

Ada yang mengatakan bahawa pisau jam adalah daripada pengaruh askar British terhadap senjata tajam Melayu. Konon diceritakan bahawa ia berasal dari pisau jenis "bowie" yang lazim dibawa oleh anggota tentera British. Pisau ini dipanggil pisau jam kerana bentuknya seperti jarum jam dinding. Pisau jam mula dipopularkan oleh British di Tanah Melayu pada abad ke 19. Pisau ini sesuai digunakan untuk berburu kerana matanya yang tajam seperti badik - sumber Cikgu Nasir

BESI BAJA

Besi baja diketahui umum merupakan besi yang digunakan untuk menajamkan sesebilah senjata. Biasanya besi baja dimasukkan pada bahagian mata senjata. Bagi keris yang berkualiti dan baik garapannya, bilahnya dikelilingi oleh besi baja yang sekata. Baja tidak bocor atau tiris di mana-mana bahagian keris. Bagi peminat seni keris, terutamanya yang percaya kepada unsur ketandaan, struktur ini amat dititikberatkan. Besi baja mudah dikenali kerana kelihatan lebih hitam daripada besi biasa, padat serta licin pada keris atau senjata baru. Untuk mendapatkan besi baja yang sekata pada bilah keris memerlukan kerja yang teliti daripada tukang yang mahir.Keris kelihatan amat cantik sekali jika besi baja di tepinya yang sekata manakala pada bahagian tengahnya dihiasi dengan besi berpamor, terutamanya pamor perak atau berlian dari pangkal sampai hujung bilah. Sehubungan itu apabila membeli keris lama atau baru perhatikan keadaan bajanya jika ia bukan besi sebatang. - sumber Cikgu Nasir

GARIS PANDUAN SILAT MENURUT ISLAM

TUJUAN

1.1 Garis panduan ini disediakan untuk dijadikan panduan kepada umat Islam khususnya mereka yang terlibat dengan amalan seni mempertahankan diri tradisional (silat) supaya terhindar dari amalan yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam yang sebenar.

PENDAHULUAN

2.1 Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah dan syariah. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber asal Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias adalah ditolak. Kepercayaan-kepercayaan dan amalan-amalan tertentu dalam masyarakat Islam di Malaysia sedikit sebanyak ada hubungkaitnya dengan pengaruh fahaman Anamisme, Dinamisme, Hindu, Buddha dan Syiah (Ghulu) yang sebahagiannya telah menjadi darah daging kepada pengamal suci mempertahankan diri tradisional (silat). Oleh itu gari panduan ini perlu dijadikan asas dan panduan supaya dapat mengelakkan diri dari terjerumus ke dalam penyelewengan akidah dan syariat Islam. Allah berfirman dalam surah Yunus, ayat 106:
ولا تدع من دون الله ما لا ينفعك ولا يضرك فان فعلت فانك اذا من الظالمين(سورة يونس : 106)
Bermaksud:“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim”.

2.2 Dalam sejarah Islam memang wujud pahlawan-pahlawan yang tekemuka di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka telah berjuang menentang Musyrikin Quraisy dan penentang-penentang ajaran Islam dari kalangan Munafikin. Antara sahabat berkenaan ialah Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru b. As-As, Abu Ubaidah b. Al-Jarrah, Saad b. Abi Waqas dan lain-lain lagi. Di dalam Al-Quran didapati banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa perlunya umat Islam mempersiapkan diri dan kelengkapan senjata serta kemudahan-kemudahan yang perlu untuk mempertahankan agama, diri dan negara. Antaranya ayat 61 surah Al-Anfaal:
وان جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله انه هو السميع العليم(الانفال : 61)
Bermaksud:“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
2.3 Di dalam ilmu persilatan terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika hendak masuk silat, setelah masuk atau selepas tamat dan diijazahkan. Di antara syarat-syarat tersebut:
(a) menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.
(b) mandi dengan air mandian tertentu sebagai lambang membersihkan segala kekotoran zahir dan batin.
(c) Tidak boleh meninggalkan sembahyang.
(d) Tidak boleh banyak bertanya ketika guru sedang mengajar atau mempersoalkan sebarang tindakan guru.
(e) Melakukan gerak silat membuka atau menutup gelanggang setiap kali memula atau menamatkan latihan silat.
2.4. Guru memainkan peranan penting di dalam menyampaikan sesuatu ilmu bagi menjamin kesahihan dan kesempurnaan ilmu tersebut. Di dalam ilmu persilatan, guru adalah lambang kesempurnaan.
2.5. Sesuatu seni mempertahankan diri tradisional (silat) itu perlulah didasarkan kepada garis panduan berikut bagi mengenal pasti ia terhindar dari perkara yang bercanggah dengan syariat Islam:
(a) Asal Usul Silat
(b) Syarat-Syarat Silat
(c) Guru Silat
(d) Ikrar Sumpah dan Taat Setia
(e) Pantang Larang
(f) Adab
(g) Gerak Langkah
(h) Amalan Dalam Silat
(i) Pengijazahkan
j) Matlamat Silat

3. GARIS PANDUAN SILAT DAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

3.1. Asal-Usul Silat

3.1.1. Demi menjaga kesucian akidah Islam, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu setiap individu atau kumpulan tidak boleh mendakwa bahawa:
(a) Silat mereka bersumber dari Nabi Muhammad s.a.w. para anbia atau diambil dari Al-Quran dan Hadis atau berasal dari amalan para sahabat Nabi s.a.w.(b) Teknik atau pergerakan persilatannya berasal dari ibadat tertentu seperti rukun sembahyang.(c) Seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w. atau para anbia yang lain atau para sahabat serta ulama.

3.2. Syarat-syarat Silat

3.2.1. Bagi memastikan syarat di dalam ilmu persilatan tidak bercanggah dengan ajaran Islam maka:
(a) Semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam, yang mukallaf tidak boleh dijadikan syarat di dalam silat seperti sembahyang, puasa, jangan durhaka kepada ibubapa, sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib tersebut menjadi wajib hanya apabila dijadikan syarat.
(b) Tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat yang dipercayai boleh merosakkan pegangan akidah.
(c) Tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi-mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.
(d) Tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang mengandungi unsur-unsur meminta izin atau bantuan dari kuasa-kuasa makhluk “ghaib” dalam acara “gerak membuka atau menutup gelanggang”, “’ayat kebal” atau “pukulan angin maut” atau sembelih ayam dalam gelanggang.
(e) Tidak boleh mentaati guru atau seseorang pada perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
(f) Sebarang syarat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.

3.3. Guru Silat

3.3.1. Guru silat yang beragama Islam hendaklah bukan terdiri daripada:
(a) mereka yang melakukan perkara syirik, sama ada melalui perkataan, perbuatan atau iktikad.
(b) mereka yang melakukan maksiat/jenayah dan yang bertentangan dengan moral.
(c) pemecah belah masyarakat.
(d) Mereka yang mentafsir ajaran agama Islam mengikut hawa nafsu.

3.3.2. Jika seseorang guru silat hendak melibatkan diri dalam hal agama hendaklah mengetahui asas-asas agama Islam sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah seperti rukun Islam, rukun Iman, cara mengerjakan sembahyang dan sebagainya.
3.3.3. Guru silat dilarang memasukkan atau menggunakan unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal di dalam ilmu persilatan.
3.4. Ikrar Sumpah dan Taat Setia
3.4.1. Sumpah tidak dibolehkan sebaliknya hanya ikrar.
3.4.2. Murid tidak boleh taat secara membuat tuli kepada guru. Mereka hendaklah mengikut perintah guru selama tidak bercanggah dengan perintah Allah.
3.4.3. Sumpah tidak boleh digunakan kepada perkara yang telah diwajibkan di dalam Islam seperti bersumpah akan taat kepada ibubapa, bersumpah akan taat kepada Allah dan Rasul dan sebagainya.
3.4.4. Bacaan, amalan dan ikrar yang terdapat di dalam sumpah hendaklah mengandungi perkara yang tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islam seperti memuja dewa, atau nama berhala.
3.4.5. Di dalam upacara sumpah dan bai’ah sama ada dari segi fizikal atau mental hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur yang mensyirikkan Allah dan menjatuhkan maruah seseorang sebagai umat Islam.

3.5. Pantang Larang
3.5.1. Suatu pantang larang hendaklah bukan daripada perkara-perkara yang jelas diwajibkan di dalam Islam seperti tidak meninggalkan sembahyang, jangan berkelahi sesama ahli dan sebagainya.
3.5.2. Suatu pantang larang tidak boleh dikaitkan dengan unsur-unsur pemujaan, meminta izin, perlindungan atau bantuan daripada makhluk-makhluk ghaib seperti larangan berludah kerana ditakuti tidak menjadi.
3.5.3. Tidak boleh memenuhi kehendak pantang larang sehingga melakukan perkara-perkara yang ditegah di dalam Islam seperti meninggalkan tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan sebagainya.
3.5.4. Perkara-perkara yang harus dan halal tidak boleh dihukumkan haram.
3.6. Adab

3.6.1. Adab Murid Dengan Guru:
(a) Guru tidak boleh menganggap dirinya yang paling mulia dan tidak pernah bersalah.
(b) Guru hendaklah mengelakkan diri dari dianggap orang yang perlu ditaati secara mutlak.
(c) Guru tidak boleh menganggap orang lain lemah dan lekeh.
(d) Guru hendaklah melarang murid-muridnya memuja, mengagung dan taksub kepadanya.
3.6.2. Adab Sesama Murid Seperguruan:
(a) Seseorang murid tidak boleh memberikan hak secara khusus kepada murid seperguruannya sahaja, seperti memberi ucapan salam, tidak boleh bergaduh sesama ahli dan sebagainya.
(b) Seseorang murid tidak boleh menanam atau mengapi-apikan perasaan bangga diri dan taksub kepada kumpulannya sehingga memandang hina dan negatif kepada orang lain.
3.6.3. Adab Murid dengan Orang Lain
(a) Seseorang murid tidak boleh mengutamakan guru silat dan murid seperguruannya sehingga mengabaikan hak dan kewajipannya kepada ibu bapa, suami, isteri, anak dan ahli keluarga.
(b) Seseorang murid tidak boleh memandang rendah dan hina terhadap orang bukan dari kalangan ahli silatnya.
(c) Seseorang murid yang beragama mesti menjalinkan ikatan persahabatan sama ada sesama ahli atau orang lain.
3.7. Gerak Langkah
(a) Gerak langkah silat tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-sifat-Nya atau merupakan maksud di sebalik kalimah atau nama-nama Allah atau sifat-sifatNya.
(b) Gerak langkah silat tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada ahli atau jasad Rasulullah s.a.w., para malaikat, nabi-nabi dan orang soleh.
(c) Gerak langkah silat tidak boleh dimaksudkan dengan perkara yang berkaitan dengan agama Islam atau perlakuan ibadat yang tertentu seperti dua kalimah syahadah dan sembahyang.
3.8. Amalan Dalam Silat
(a) Tidak boleh memuja dan memperhambkan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busut dan sebagainya.
(b) Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah-rajah atau tulisan-tulisan yang tidak difahami, objek-objek tertentu dan bercampuraduk dengan ayat Al-Quran.
(c) Tidak boleh mengamalkan bacaan-bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan ayat al-Quran.
(d) Tidak boleh meninggalkan ibadat-ibadat wajib yang dituntut di dalam Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadan ketika melakukan amalan silat.
3.9. Pengijazahan
(a) Tidak boleh melakukan isyarat sembah atau gerak tubuh yang melambangkan ketundukan yang menyamai atau melebihi ketundukan yang hanya layak kepada Allah sahaja seperti tidak sembah kepada guru.
(b) Tidak boleh melakukan upacara yang mengandungi unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa atau tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya.
3.10. Matlamat Silat
(a) Matlamat silat hendaklah matlamat yang baik seperti untuk kesihatan tubuh badan, mendisiplinkan diri, hidup bermasyarakat, untuk mempertahankan diri dari bahaya dan sebagainya.
(b) Matlamat silat tidak boleh:
(i) Untuk membalas dendam, menuntut bela, membuat aniaya, menakutkan dan mengugut orang lain.
(ii) Untuk menanam sifat berani yang keterlaluan sehingga hilang hormat kepada ibubapa, guru, ahli keluarga dan lain-lain.
(iii) Untuk memupuk sentimen perkauman atau taksub golongan/kumpulan ekstrim agama yang melampau di kalangan ahli.
4. PENUTUP

Dengan mengikut garis panduan ini diharapkan para pengamal silat dan seni mempertahankan diri supaya dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran Islam yang benar, agar hidup sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia